Sunday, April 14, 2019

Nafas








Dalam keheningan pagi, aku mulai sedar dari lamunan mimpi semalam.

Cuma pagi ini terasa ingin kusandarkan diri ini seketika lagi di perbaringan. Kicauan burung mula sahut-menyahut. Aku cuba mendengar setiap kicauan dengan mata masih tertutup rapat. Dalam pada itu, aku dapat mendengar paling kurang lima jenis kicauan burung yang amat merdu.

Inilah kehidupan. Rutin harian. Kesibukan kerja. Tanggungjawab dan beban yang tak kesudahan. Menumpulkan pancaindera kita. 

Seandainya diberi ruang untuk bernafas menikmati keindahan alam ciptaan Allah..pasti dunia ini akan terasa lebih hidup.

Kutu babi











Kerja kalau nak seronok, mestilah ada "passion". Barulah tak terasa penat. Dalam bertugas sebagai seorang doktor, "passion" ini wajib ada. Dengan kata lain, kalau nak jadi doktor yang baik mestilah mengenal pesakit. Malah setiap pesakit mempunyai cerita hidupnya. 

Begitulah nak dikisahkan satu peristiwa mencuit hati. Saya didatangi seorang makcik bersama anaknya. Mengadu ada tahi lalat besar di bawah mata kiri.Yang hairannya, baru sebulan lepas makcik ini datang klinik. Masa itu seingat saya tak ada pulak. Selepas diteliti, saya berkata kepada beliau. "Makcik, ada berita buruk dan berita baik". "Apo dio", katanya dalam loghat nogori.

"Macam inilah makcik. Yang sebenarnya itu bukan tahi lalat tapi kutu babi! Cuma berita baiknya, makcik tak perlu samak". Makcik yang kelihatan suspen tadi sama2 gelak ketawa bersama anaknya.

20 sen









Hari Jumaat hari penuh rahmat. Penghulu segala hari. Seperti biasa aku bergegas ke surau lalu menempatkan diri di sela jemaah yang kian ramai. Kebetulan di sebelah seorang budak sekolah. 

Dalam pada khutbah berjalan, berjalan juga kotak derma. Krik..krik. Ada yang menyumbang. Ada yang tidak. Ada juga yang duduk sambil rukuk hampir menyembah bumi (..peliknya semakin kotak hampir semakin rukuk). 

Nah..apa2pun yang nak saya sampaikan di sini ialah..what happened next? Budak sekolah tadi menghulur lalu memasukkan duit 20 sen ke dalam tabung.

Betul kata orang. Ikhlas. Itu jer. Nak 100..50..20? Tak kisah. Yang penting ..IKHLAS. Apalah 20 sen? Tapi buat budak itu mungkin itulah lebihan duit makan minum yang disimpan cermat untuk membeli umpan memancing hujung minggu nanti. 

Kita bagaimana?

Ibuku seorang Guru











 
Menjangkau usia 80 tahun. Seorang bekas guru. Sebahagian besar hidup ibuku adalah di sekolah. Mendidik anak2 dengan penuh semangat dan dedikasi. Ramai yang dah pun berjaya, berkahwin malah dah menjadi ayah dan ibu.


Terjumpa satu plak yang pernah dihadiahkan oleh seorang bekas pelajarnya. Dalam usia ini mungkin ibu saya sudah tak ingat lagi. Beliau menghidap penyakit Alzheimer's. Tapi saya pasti si anak kecil itu masih ingat. Segar lagi..setiap curahan ilmu dengan penuh kasih sayang. Hubungan seorang anak murid dengan gurunya. Tersemat abadi. Selamanya.

Semoga Allah mencurahkan rahmatNya kepada semua yang bergelar seorang guru..

Terima kasih Cikgu..terima kasih ibuku.


Isteriku Girlfriendku






Tunggu boyfriend ker? Tak..tunggu suami. Jawab staf saya ringkas, yang kebetulan baru habis shif kerja pagi. Hai..suami itu boyfriend lah balas saya sambil tersenyum sinis.


Demikianlah lumrah hidup. Sebelum kahwin bukan main boyfriend girlfriend. Lepas kahwin langsung hilang. Naik pangkat jadi si suami atau isteri. Apa suami itu bukan boyfriend lagi atau isteri itu pula bukan girlfriend lagi? Padahal yang dinikahi adalah orang yang sama.

Boyfriendku adalah suamiku.Suamiku adalah boyfriendku.

Isteriku adalah girlfriendku. Girlfriendku isteriku.

Baru best. Baru manis hidup berumahtangga.

Jom dating..

Sang Pelangi









Fahaman manusia adalah sangat bervariasi. 

Dalam sudut agama misalnya, dalam agama Islam sendiri, setiap orang mempunyai pandangan masing2. Pandangan adalah seperti cahaya. Kalau dibiaskan butiran embun, terhasil Sang Pelangi. Tujuh warna pelangi namun tidak terasing. Beransur dari satu warna ke warna lain secara bersinambungan. Maka, pecahan cahaya sebenarnya lebih daripada tujuh. Yang nampak mahupun yang terhijab dari pandangan.

Begitulah pemahaman masing2 tentang agama. Namun, jangan jadikan pecahan yang kecil ini, memecahkan diri dan dunia. Pecahan ini hanyalah variasi yang mewarnai hidup kita. Yang penting penyatuan pecahan ini menghasilkan kesatuan hati. 

Seperti Sang Pelangi yang menyatu menyinari alam ciptaanNya.