Sunday, October 20, 2019

Ponder





Berhenti kat traffic light. Kereta bersimpang-siur. Sesekali motor meredah "langgar" lampu merah. Agaknya si penunggang merasa dirinya seperti dalam cerita "The Unbreakable".

Tatkala itu fikiran selalu melayang. "Ponder", kata Mrs Sally George (guru bahasa Ingggeris sekolah rendah). Sungguh sibuk. Rancak. Masing2 mengejar kehidupan. Ada yang nak ke pasar. Ada yang mencari ATM (kot ada lagi tersisa maklumlah dah hujung bulan). Ada yang nak ke rumah. Makan bersama anak isteri. Pokoknya masing2 ada yang dikejar.

Apakah itu makna hidup? Ya..hidup. Sedangkan sebuah kereta itu pun begitu rumit pembuatannya. Apatah lagi kita? Teratur kemas dalam sistem yang kompleks. Tiada mungkin teori kebarangkalian sekali pun dapat menjelaskannya. Kerana matematiknya mudah. Segalanya ada pembuatnya. Kebarangkalian manusia terjadi spontan begitu saja adalah nol. Titik. 

Setiap sesuatu ada penciptanya. Meja. Kerusi. Kereta. Kapalterbang. Sedangkan seekor lalat  pun begitu canggih buatannya. Laut. Udara. Langit. Bumi... kau dan aku. Kun faya kun! Jadilah!

Anehnya makin berilmu makin disangkal. Takbur dan bongkak! 

Hanya hati yang mencari. Menemukan kebenaran. Hakiki.

Monday, October 7, 2019

Stress




Stress.

Anda pernah stress? Semua orang pasti pernah stress.

Ya..aku pun kerapkali stress. Pasal rumah. Pasal kerja. Macam2 lagi. Stress itu tak salah malah memang lumrah dalam kehidupan seharian kita. Apa yang penting cara kita menyalurkan perasaan itu agar terubat sedikit hati yang gundah gulana.

Ada orang mendengar muzik. Ada yang solat sunat. Dan macam2 lagi. Aku..memilih cara berlari (jogging) dan membaca buku (...selain solat). Lagi kuat stress lagi kencang aku berlari. Sampai nak terasa pecah dada. Tapi memang terasa lega lepas tu. Kadang2 malah dapat idea memecahkan kebuntuan yang dihadapi.

Membaca pula membawa kita ke suatu alam tersendiri. Jauh dari segala permasalahan hidup yang serba rumit ini. Suatu alam fantasi yang hanya si pembaca dapat merasai keenakannya. Yang menurunkan satu perasaan damai. Setiap buku ada cerita tersendiri. Seperti setiap insan dengan kisah hidupnya masing2.

Jadi carilah jalan masing2 untuk de-stress. Biasanya apa yang anda paling minat atau hobi adalah jawapannya.

Saturday, October 5, 2019

Apakah nilai sebuah buku?














Seusai kursus di sebuah hotel di PJ, saya bergegas ke bilik air (maklumlah tangki dah penuh). Saya tinggalkan buku dan fail saya di satu sudut. Rasanya tak mungkin ada yang mengambilnya. Ya..selepas selesai "urusan" saya pun keluar dan mengambil buku dan fail yang langsung tidak terusik walaupun kedengaran ada yang keluar masuk sebentar tadi.

Dalam sekilas itu entah kenapa terpikir. Kalau lah dompet atau beg yang ditinggalkan..apakah nasibnya sama? Rasanya tidak. Begitulah nilaian kita. Buku yang penuh dengan ilmu tiada daya tariknya. Bukan berharap ada yang "mengambilnya". Tapi cuma satu pemerhatian di suatu petang setelah hari yang panjang..

Namun elok bersangka baik jer..

Friday, October 4, 2019

Kucing vs Anjing







Apa jangkaan anda? Lumrahnya anjing mengejar kucing. Kucing yang lari.


Petang tadi lepas solat Jumaat, kami berkumpul meraikan tiga orang staf yang akan mengorak langkah mengejar cita dan impian masing2. Di ketika itulah ada seekor anjing muncul entah dari mana lalu mendekati seekor kucing. Tak semena2 kucing itu langsung menerkam lalu mencakar anjing itu. Apa lagi, anjing itu lari sambil menggongong ketakutan. Ketawa berdekah dibuatnya kami.

Itulah hakikat kehidupan. Apa yang lumrah tak semestinya selalu sama. Adakalanya yang tak terjangka yang terjadi. Kita merancang. Allah yang menentukan. Sebagai hambaNya, kita pasrah. Pasti ada hikmah di sebalik segala kejadian. Wallahualam bissawab.

Tuesday, May 21, 2019

Mata pun kenal malu





Bulan Ramadhan. Bulan yang mulia. Ibadah puasa dan tarawih menjadi amalan harian. Seperti biasa pasar2 Ramadhan bercambah di sana sini. Setiap petang menjelang waktu nak berbuka, berpusu2 manusia mencari2 juadah. Terkadang sampai naik keliru mana nak pilih. Akhirnya, semua diambil tapi sayangnya tak termakan. Tambah sayangnya, di kala kita berlebih makanan, ada pula yang hanya mampu berbuka dengan air kosong.


Tapi sebenarnya apa yang nak saya cerita kali ini bukan tentang itu. Ada sesuatu yang mencuit hati saya ketika menunggu anak saya membeli makanan. Seperti biasa saya jarang nak ke pasar Ramadhan meredah lautan manusia. Lebih rela duduk dalam kereta tunggu anak isteri. Di ketika sedang asyik memerhatikan gelagat bermacam ragam manusia, saya terpandang sepasang suami isteri (..agaknya dari cara kemesraan yang ditunjukkan) turun dari kereta. Kedua2nya dalam lingkungan umur lewat 30an atau pun awal 40an. Si suami berpakaian agak "rugged" dengan T-shirt round-neck dan seluar jeans. Apa yang mencuit hati saya ialah apabila terpandang pakaian si isteri. Cukuplah sekadar saya cakap di sini.."Mata pun tahu rasa malu"..sampai saya terpaksa menundukkan pandangan. Apakah Sang suami tidak kisah isterinya dipertontonkan seperti itu? 

Begitulah kata orang akhir zaman ini. Tiada lagi rasa malu. Hidup beragama jauh sekali. Agama hanya jadi satu ritual yang diturunkan ke anak cucu. Yakin dan mengenal Allah telah menjadi sesuatu yang langka. Mudah2an anak2 kita dididik mencintai setiap ibadah yang diamal.. 

Saturday, May 18, 2019

Wajah






Kutenung wajahnya untuk ke sekian kali. Tiada samanya walau pemiliknya sama.

Setiap wajah yang kita lihat. Apakah sekilas atau ditenung? 

Cubalah tatap wajah yang di depanmu. Matanya menceritakan seribu satu macam cita dan harapan. Liriknya menggetar hati kecilmu. Raut muka digarisi perjuangan yang merentasi ruang dan waktu. Setiap parut menceritakan satu kisah. Kisah yang mungkin tiada ertinya buatmu. Namun, bagi si pemilik wajah. Membawa dirinya ke suatu ketika yang amat peribadi. Helaian rambut yang mulai menipis dan memutih membuktikan kecekalannya menentang hidup yang tidak pernah menyebelahinya. Kulitnya yang semakin berkedut. Senyumnya yang masih tersisa. Melambangkan satu jiwa. Yang pernah hidup hanya keranamu. Di hujung perjalanan hidupnya.

Pasrah..kepada ketentuanNya. 

Tuesday, May 7, 2019

Nikmat yang hilang







Ramadhan 2019. 

Seperti lazimnya, saya berjalan santai menuju surau yang berdekatan rumah. Dengan ketentuan Allah, berselisih dengan seorang jemaah surau. Aku menjawab salam beliau. Lantas beliau bertanya, "Apa khabar..sihat?" Alhamdulillah sihat, jawab saya. Kata2 beliau yang selanjutnya membuatkan saya agak tersentak. Katanya, " Alhamdulillah..seronok dengar orang cakap sihat". Beliau sebenarnya menghidap masalah buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis berkala.

Berapa ramai di antara kita yang ambil ringan pasal kesihatan diri. Malah ramai juga langsung tidak terlintas soal ini hingga ketika jatuh sakit. Itulah salah satu nikmat yang seringkali kita lupa. 

Mudah2an kita ambil iktibar dari pengalaman ini dan menjaga anggota badan yang bukan milik kita tapi hanya sekadar  dipinjamkan..

Sunday, April 14, 2019

Nafas








Dalam keheningan pagi, aku mulai sedar dari lamunan mimpi semalam.

Cuma pagi ini terasa ingin kusandarkan diri ini seketika lagi di perbaringan. Kicauan burung mula sahut-menyahut. Aku cuba mendengar setiap kicauan dengan mata masih tertutup rapat. Dalam pada itu, aku dapat mendengar paling kurang lima jenis kicauan burung yang amat merdu.

Inilah kehidupan. Rutin harian. Kesibukan kerja. Tanggungjawab dan beban yang tak kesudahan. Menumpulkan pancaindera kita. 

Seandainya diberi ruang untuk bernafas menikmati keindahan alam ciptaan Allah..pasti dunia ini akan terasa lebih hidup.

Kutu babi











Kerja kalau nak seronok, mestilah ada "passion". Barulah tak terasa penat. Dalam bertugas sebagai seorang doktor, "passion" ini wajib ada. Dengan kata lain, kalau nak jadi doktor yang baik mestilah mengenal pesakit. Malah setiap pesakit mempunyai cerita hidupnya. 

Begitulah nak dikisahkan satu peristiwa mencuit hati. Saya didatangi seorang makcik bersama anaknya. Mengadu ada tahi lalat besar di bawah mata kiri.Yang hairannya, baru sebulan lepas makcik ini datang klinik. Masa itu seingat saya tak ada pulak. Selepas diteliti, saya berkata kepada beliau. "Makcik, ada berita buruk dan berita baik". "Apo dio", katanya dalam loghat nogori.

"Macam inilah makcik. Yang sebenarnya itu bukan tahi lalat tapi kutu babi! Cuma berita baiknya, makcik tak perlu samak". Makcik yang kelihatan suspen tadi sama2 gelak ketawa bersama anaknya.

20 sen









Hari Jumaat hari penuh rahmat. Penghulu segala hari. Seperti biasa aku bergegas ke surau lalu menempatkan diri di sela jemaah yang kian ramai. Kebetulan di sebelah seorang budak sekolah. 

Dalam pada khutbah berjalan, berjalan juga kotak derma. Krik..krik. Ada yang menyumbang. Ada yang tidak. Ada juga yang duduk sambil rukuk hampir menyembah bumi (..peliknya semakin kotak hampir semakin rukuk). 

Nah..apa2pun yang nak saya sampaikan di sini ialah..what happened next? Budak sekolah tadi menghulur lalu memasukkan duit 20 sen ke dalam tabung.

Betul kata orang. Ikhlas. Itu jer. Nak 100..50..20? Tak kisah. Yang penting ..IKHLAS. Apalah 20 sen? Tapi buat budak itu mungkin itulah lebihan duit makan minum yang disimpan cermat untuk membeli umpan memancing hujung minggu nanti. 

Kita bagaimana?

Ibuku seorang Guru











 
Menjangkau usia 80 tahun. Seorang bekas guru. Sebahagian besar hidup ibuku adalah di sekolah. Mendidik anak2 dengan penuh semangat dan dedikasi. Ramai yang dah pun berjaya, berkahwin malah dah menjadi ayah dan ibu.


Terjumpa satu plak yang pernah dihadiahkan oleh seorang bekas pelajarnya. Dalam usia ini mungkin ibu saya sudah tak ingat lagi. Beliau menghidap penyakit Alzheimer's. Tapi saya pasti si anak kecil itu masih ingat. Segar lagi..setiap curahan ilmu dengan penuh kasih sayang. Hubungan seorang anak murid dengan gurunya. Tersemat abadi. Selamanya.

Semoga Allah mencurahkan rahmatNya kepada semua yang bergelar seorang guru..

Terima kasih Cikgu..terima kasih ibuku.


Isteriku Girlfriendku






Tunggu boyfriend ker? Tak..tunggu suami. Jawab staf saya ringkas, yang kebetulan baru habis shif kerja pagi. Hai..suami itu boyfriend lah balas saya sambil tersenyum sinis.


Demikianlah lumrah hidup. Sebelum kahwin bukan main boyfriend girlfriend. Lepas kahwin langsung hilang. Naik pangkat jadi si suami atau isteri. Apa suami itu bukan boyfriend lagi atau isteri itu pula bukan girlfriend lagi? Padahal yang dinikahi adalah orang yang sama.

Boyfriendku adalah suamiku.Suamiku adalah boyfriendku.

Isteriku adalah girlfriendku. Girlfriendku isteriku.

Baru best. Baru manis hidup berumahtangga.

Jom dating..

Sang Pelangi









Fahaman manusia adalah sangat bervariasi. 

Dalam sudut agama misalnya, dalam agama Islam sendiri, setiap orang mempunyai pandangan masing2. Pandangan adalah seperti cahaya. Kalau dibiaskan butiran embun, terhasil Sang Pelangi. Tujuh warna pelangi namun tidak terasing. Beransur dari satu warna ke warna lain secara bersinambungan. Maka, pecahan cahaya sebenarnya lebih daripada tujuh. Yang nampak mahupun yang terhijab dari pandangan.

Begitulah pemahaman masing2 tentang agama. Namun, jangan jadikan pecahan yang kecil ini, memecahkan diri dan dunia. Pecahan ini hanyalah variasi yang mewarnai hidup kita. Yang penting penyatuan pecahan ini menghasilkan kesatuan hati. 

Seperti Sang Pelangi yang menyatu menyinari alam ciptaanNya.